CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Memori Nisa' Tambun

Thursday, October 22, 2009

Bermatlamat Tangga Kejayaan



Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.

Matlamat memudahkan perancangan.

Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Matlamat meningkatkan komitmen diri. Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri. Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya!!!

Matlamat membantu anda membuat keputusan.

Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialah sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka. Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda. Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!

Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan.

Apabila anda mempunyai matlamat, anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa pensyarah setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

Matlamat pengukur kejayaan.

Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari. Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna.
Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.



Mutiara kata:- “Bukanlah tuan gurumu itu seorang yang hanya kamu mendengar daripadanya, tetapi tuan gurumu yang sebenar ialah yang mana kamu telah mengambil ilmu daripada pengamalannya…” (Imam Ghazali)

Saturday, October 17, 2009

SAMPAI BILA NAK BIARKAN GADIS PENAN DIROGOL


Senyap. Sepi. Sunyi. Tiada pembelaan. Tiada kelab penyokong. Tiada segalanya. Itu lah nasib para gadis Penan yang terlibat dalam penganiyaan oleh pembalak-pembalak di Sarawak. Agak melucukan kerana perkara sebegini seolah tiada harga di mata kita. Yang menghantar memorandum hanya 5-6 batang sahaja. Tidak seramai membantah ISA.

Kecoh. Bising. Meriah. Penuh pembelaan. Ada kelab penyokong. Ada segalanya. Itu lah tuah Kartika. Dihukum rotan kerana disabit kesalahan minum arak. Kecoh apabila si pejuang hak asasi manusia mempertikai jenis hukuman dan juga jantina pesalah.

Sangat beruntung si Kartika. Semua pihak mahu membela. Semua pihak mahu melawat. Macam pejuang Islam pula. Terbaru, sebuah persatuan mahasiswa melancarkan Kelab Penyokong Kartika. Apa kah tujuan sebenar ditubuhkan tak tahu lah. Mungkin tekanan akibat bahang “final exam” yang menghampiri.

Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia untuk gagal menilai keutamaan dalam kehidupan. Mahasiswa juga termasuk dalam golongan ini. Agak malang bagi kita golongan mahasiswa apabila sering kali tersilap letak di mana keutamaan yang sebenar.

Kita gila berpolitik, gila berhibur, gila belajar, gila segalanya. Hingga lupa dunia. Tidak salah berpolitik. Tak dilarang hendak berhibur. Bagus jika suka belajar. Tapi haruslah tahu susun atur keutamaannya.

Dalam konteks perjuangan membela rakyat, penulis agak kecewa dengan kesunyian dan kesepian dari pihak Gerakan Mahasiwa yang seakan gagal untuk memainkan peranan dalam membela nasib gadis Penan. Mungkin jika ditanya, ramai yang tak tahu apa sebenar isu gadis Penan ini. Semua sibuk dengan Bagan Pinang, Kartika, dan sebagainya.

Hendak dikatakan faktor geografi, mustahil kerana sekarang kita ada internet. Ada blog. Ada segalanya. Tapi, kita tetap gagal mengambil tahu tentang isu ini. Apatah lagi untuk memperjuangkan isu ini.

Kenapa isu ini lebih penting dari Kartika?

Isu Kartika hanyalah sebuah kontroversi murahan yang juga memalukan mahkamah Syariah di Negara kita. Isu sebat ini bukan baru. Sudah lama. Dulu dua beradik disebat kerana minum arak. Apa nak dikecohkan sangat?

Nun jauh di Sarawak isu lebih besar menanti untuk dihebohkan. Gadis Penan sudahlah majoritinya tidak berpendidikan, tiada kad pengenalan, tiada segalanya. Mereka ini yang sepatutnya dibela. Kita selaku mahasiswa seharusnya membantu mereka ini. Tidak perlu terbang ke Sarawak. Cukup dengan mengadakan tabung bantuan, unjuk rasa, sidang akhbar, tunjukkan bahawa kita perihatin kepada mereka.

Gadis Penan ini tidak bersalah. Mereka perlu dibela bukan kerana mereka dijatuhkan hukuman sebat kerana berzina. Mereka ini dirogol. Diulangi, mereka ini dirogol! Buta huruf, tiada pengenalan diri, miskin, ditambah pula dengan penganiyaan melampau, sedah cukup bagi kita untuk mengambil tindakan sewajarnya. Tapi, adakah apa-apa tindakan yang diambil?

Buat sayap puteri Gerakan Mahasiswa, tidak cukup kah penganiyaan ini? Tidak cukup hebatkah penganiyaan terhadap kaum wanita dalam kes Penan ini? Kenapa seakan sepi membisu? Bukan kah sayap puteri ditubuh untuk memainkan peranan penting dalam isu wanita? Tapi jika isu sebesar ini boleh dipandang sebelah mata, apa guna lagi sayap puteri?

Kita selalu menghentam puak-puak liberalis, kononnya mereka tidak menghormati mahkamah Syariah dalam isu Kartika. Tapi tahukah anda bahawa Joint Action Group (JAG) adalah antara mereka yang pertama menghulur bantuan buat gadis-gadis Penan? Kita menghentam mereka tapi nampaknya sekarang mereka membuktikan bahawa mereka lebih prihatin tentang isu penganiyaan terhadap wanita daripada kita.

Sekarang, layakkah kita menghentam JAG kerana mempersoal mahkamah Syariah? Kita marah mereka. Ya, itu betul kerana mereka ini tidak menghormati “Legal Pluralisme” yang diamalkan di Negara kita. Tapi, nampaknya sekarang kita sudah ketinggalan satu tapak di belakang mereka.

Membela kaum tertindas itu sifat seorang Muslim. Tapi kenapa Gerakan Mahasiswa Islam gagal membela mereka? Kenapa khayal dalam isu Kartika semata? Hendak dikatakan tak sempat nak tengok, tidak masuk akal juga. Kerana Gerakan Mahasiswa Islam lah yang sering memukul canang mempromosi media alternatif. Isu ini hangat dimainkan di media alternatif. Tapi nampaknya kita masih ketinggalan. Mungkin, ini kerana Kartika itu model. Comel lote. Tapi gadis Penan? Comot…

Jika sudah ada tindakan dari gerakan mahasiswa, maka penulis ucapkan tahniah. Kerana anda buktikan anda tidak tidur dalam berjuang. Kepada yang belum bertindak, bangkitlah dari mimpi.


Oleh: Muhammad Fuad Syazwan bin Ramli
posted by : shamshi

Sunday, September 27, 2009

JIKA ALLAH MAHA PENGASIH KENAPA DISEIAKAN NERAKA...




Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu beragama Islam, tetapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam‘, kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Saya tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la…setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, “..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ini bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintah-Nya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintah-Nya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka…”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak “Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?” Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:”Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga… Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?”

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: “perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik dan orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan ‘lulus’ percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?”; tanya ustaz.

“Ah…mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je..” rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:”Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hamba-Nya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan oleh-Nya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintah-Nya, untuk kebaikan diri kita jugak.

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIFITRI

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA UMAT ISLAM SEKALIAN
SAMBUTLAH LEBARAN DENGAN PENUH KESYUKURAN DAN BERUSAHA UNTUK MENERUSKAN AMALAN-AMALAN YANG TELAH KITA LAKSANAKAN SEPANJANG DI BULAN RAMADHAN. SEMOGA KITA SEMUA MENDAPAT KEBERKATAN DARI ALLAH S.W.T HENDAKNYA.

SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN KEPADA SELURUH AJK NISA' TAMBUN.

JANGAN LUPA BERSEDEKAH DI HARI RAYA.
BERSEDERHANALAH MENYAMBUT AIDILFITRI.

JOM JION NISA' TAMBUN

ASSALAMUALAIKUM.

NISA' DAY TELAH BERUBAH TARIKH!!!

TARIKH : 3 OKTOBER 2009
HARI : AHAD
MASA : 9.00 PG
TEMPAT : TERATAK HJ. ROSLI DI BATU 5 (BERHADAPAN GIANT)

SEMOGA DENGAN KEHADIRAN TUAN/PUAN AKAN MENCERIAKAN LAGI MAJLIS YANGA AKAN BERLANGSUNG.

Related Posts with Thumbnails